Arab Saudi sumbang lebih 7 juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia

Spread the love

PUTRAJAYA, 14 Mei  — Kerajaan Arab Saudi dengan perkenan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, menyumbang sebanyak 7,542,170 unit peralatan perubatan kepada Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu menangani penularan wabak COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dikongsikan oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan dalam pertemuan mereka di Wisma Putra di sini hari ini.

Kesemua peralatan perubatan itu disalurkan melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre, katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.

Peralatan itu termasuk lima juta unit pelitup muka pembedahan, pelitup muka N95 (satu juta), pakaian khas (741,840), pelindung muka (300,000), penutup kepala (200,000), pakaian pelindung diri (200,000) dan penutup boot (100,000).

Arab Saudi turut menyumbang 150 unit ventilator mudah alih, ‘non-invasive ventilators’ (100) dan ventilator unit rawatan rapi (80).

Hishammuddin berkata buat masa ini, satu juta unit pelitup muka N95 telah sampai di Malaysia dan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, manakala lain-lain peralatan akan sampai secara berperingkat.

“Sesungguhnya, perkenan Raja Salman dan kesanggupan kerajaan Arab Saudi membantu Malaysia dalam perkara ini sekali gus membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Hishammuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia.

— BERNAMA

Show Buttons
Hide Buttons